HIV/AIDS

Human Immunodeficiency Virus (HIV)

HIV adalah virus yang menyebabkan AIDS. HIV menyerang sistem daya tahan badan menyebabkan badan lemah dan tidak berupaya melawan jangkitan penyakit. Jika seseorang disahkan dijangkiti HIV, orang itu dipanggil positif-HIV (HIV+) tetapi tidak semestinya dia menghadapi AIDS.

Acquired Immune Deficiency Syndrome (AIDS)

AIDS adalah nama yang diberi kepada sekumpulan penyakit yang menjangkiti orang yang HIV+. Ia berlaku apabila sistem daya tahan badan orang tersebut menjadi semakin lemah dan tidak berupaya melawan penyakit hinggakan penyakit yang dianggap biasa boleh mendatangkan maut.

Bagaimanakah HIV boleh dijangkiti?

HIV hanya boleh dijangkiti melalui cara-cara berikut sahaja:

  1. melalui perhubungan seks tidak selamat (seks tidak selamat adalah seks tanpa menggunakan kondom lateks).
  2. melalui perkongsian jarum suntikan atau picagari.
  3. melalui ibu kepada bayinya semasa kehamilan, kelahiran atau penyusuan.

Bagaimanakah untuk mengetahui samada saya telah dijangkiti?

Satu-satunya cara yang efektif adalah dengan menjalani Ujian Antibodi HIV di klinik berdekatan.

Apakah tanda-tanda atau simptom-simptom jangkitan HIV?

Permulaan jangkitan HIV biasanya tidak menunjukkan sebarang tanda. Ada jangkitan yang akan menunjukkan simptom yang menyerupai demam selesema tiga sehingga enam minggu selepas jangkitan. tetapi ini berlainan dari seseorang ke seseorang yang lain; orang itu mungkin sembuh dan berkeadaan sihat selama beberapa tahun sehinggalah sistem daya tahan badannya menjadi lemah dan orang tersebut jatuh sakit disebabkan jangkitan penyakit yang berulang kali. Tanda awal yang serupa juga berlaku semasa jangkitan virus lain. Oleh kerana tanda-tanda ini hilang dengan mudahnya, ramai yang tidak mengendahkannya dan mengaggapnya sebagai penyakit biasa. Jadi, satu-satunya cara untuk mendapat kepastian adalah dengan menjalani Ujian Antibodi HIV terutamanya jika anda rasa anda telah melakukan aktiviti yang berisiko.